Pembidaan 2010 Commonwealth Games

Dua pembida utama untuk Sukan Komanwel 2010 datang dari Delhi, India dan Hamilton, Ontario, Kanada. Undian ahli diadakan di Perhimpunan Am Persekutuan Sukan Komanwel di Montego Bay, Jamaica pada November 2003. Delhi menang 46 undian berbanding 22 untuk mengesahkan kejayaan pertama India mendapat hak penganjuran Sukan Komanwel. Ini juga percubaan Kanada untuk menganjurkan temasya ini buat kali kelima.[1][2][3] Cogan kata bidaan India ketika itu adalah New Frontiers and Friendships (Sempadan dan Persahabatan Baru).[4]

India mendapat kelebihan di pusingan kedua proses mengundi dengan janji bahawa AS$100,000 akan dihulurkan kepada setiap negara peserta, di samping tiket dan khidmat penerbangan, penginapan dan pengangkutan[5]. Kejayaan Sukan Afro-Asia 2003 di Hyderabad juga menunjukkan bahawa India mempunyai sumber, prasarana dan pengetahuan teknikal untuk menganjurkan temasya sukan besar-besaran. India juga memberi penghargaan kepada Latif Butt, bekas naib presiden Majlis Olimpik Asia, atas sokongan yang diberikannya dalam kejayaan merangkul hak penganjuran Sukan Komanwel, dengan berucap, "Kamu telah memainkan peranan penting dalam peruntukan Sukan Komanwel 2010 kepada India. Usaha sebegini wajar dicontohi oleh semua yang berkenaan di Pakistan dan India. Tidak dinafikan bahawa jika kedua-dua pihak terus berpandukan impian sedemikian, suatu hari nanti generasi akan datang akan beroleh hasilnya dan bersyukur atas sesiapa yang melakukan sumbangan ini, iaitu semestinya kamu."[4] Kerajaan India menyatakan bahawa pihaknya akan menaja jamin perbelanjaan keseluruhan temasya.[6]